Nur Saliawati Salberi

my

LIMA restoran tom yam diarah tutup 14 hari bermula 25 Mei selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan kotor dalam serbuan Ops Bersepadu Premis Bersih 2017 di daerah Melaka Tengah, malam tadi.

Operasi yang diketuai Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ghazali Othman itu dijalankan Unit Inspektorat Dan Perundangan (UIP) Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah.

Ghazalee berkata, operasi yang dijalankan lebih empat jam dan tamat pada 10.30 malam itu, adalah hasil daripada aduan awam mengenai tahap kebersihan premis makanan khususnya restoran tom yam.

"Sebanyak 18 premis di sekitar Melaka Tengah diperiksa. Hasilnya lima diarahkan tutup selepas didapati berada dalam keadaan kotor malah kami turut menjumpai kesan air kencing tikus didalam restoran berkenaan.

"Tiga daripada lima restoran yang diarahkan tutup itu adalah di kawasan Bachang manakala dua lagi di Pantai Puteri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 30 botol serbuk masakan dan empat kotak pewarna digunakan dalam masakan yang tidak diluluska serta mengeluarkan 24 notis kompaun.

Pihaknya turut mendapati minyak masak yang dikitar semula oleh sebuah daripada premis makanan tercemar dengan lalat.

Tinjauan Harian Metro di premis tom yam berkenaan juga mendapati, ada kuali yang digunakan untuk memasak dibiarkan di lantai malah bahan masakan seperti bawang, cili dan nanas juga sudah dipenuhi kulat.

Malah, pemeriksaan turut menemui bakul yang dipenuhi nasi putih dipercayai digunakan untuk memasak nasi goreng dibiarkan terdedah di bawah rak tanpa ditutup.

Sementara itu, pemilik restoran di Bachang terkejut sebaik dimaklumkan premisnya ada cecair kencing tikus malah mendakwa sebelum ini haiwan terbabit tidak pernah kelihatan.

Katanya, kemungkinan tikus terbabit bukan dari premisnya sebaliknya dari kawasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 1:32 AM
PEGAWAI Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri memeriksa minyak masak yang dikitar semula. (Gambar kecil) Minyak masak didapati tercemar dengan lalat serta nanas yang rosak dan berkulat yang masih disimpan untuk digunakan. FOTO Khairunisah Lokman