Penduduk setempat bergotong royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pulau Manis, Serada. FOTO Ghazali Kori
Aslina Abu Bakar
am@hmetro.com.my


SERAMAI 180 belia menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu sebagai tradisi bagi menyambut ketibaan Ramadan.

Selain menjadi satu-satunya tanah perkuburan kepada lima kampung di kawasan berkenaan, ia turut menempatkan makam ulama terkenal iaitu Makam Syeikh Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Pulau Manis.

Aktiviti gotong-royong bermula seawal 7.30 pagi itu disertai belia dari Kampung Pulau Manis, Kampung Serada, Kampung Tanjung Ketom, Banggol Mempelam dan Banggol Kemang/Tirok.

Ahli jawatankuasa program Kamrul Kori berkata, ia tradisi yang dilakukan setiap tahun sebelum menyambut Ramadan.

"Selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk, ia dapat memperkenalkan makam tokoh ilmuan kepada golongan belia.

"Saya berharap golongan belia akan meneruskan aktiviti itu setiap tahun kerana ia bukan saja dapat mengeratkan hubungan tetapi memelihara makam ulama Syeikh Abdul Malek yang menjadi rujukan ramai pada satu masa dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 3:44 PM