Aplikasi Verify Halal mampu membantu orang ramai memeriksa pengesahan status halal. FOTO Surianie Mohd Hanif
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


JABATAN Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Serunai Commerce Sdn Bhd (Serunai Commerce) melancarkan aplikasi telefon pintar bagi pengesahan halal pengguna dikenali 'Verify Halal'.

Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, aplikasi itu adalah platform pertama diluluskan JAKIM bagi membolehkan pengguna dan pembekal mendapatkan pengesahan status halal produk secara pantas dengan hanya mengimbas kod bar melalui telefon pintar.

"Verify Halal adalah aplikasi telefon pintar yang disokong JAKIM dan dibangunkan Serunai Commerce. Ia boleh didapati dalam platform android dan IOS dalam tempoh dua bulan akan datang," katanya pada majlis pelancaran aplikasi 'Verify Halal' di sini, hari ini.

Beliau berkata, aplikasi itu bukan saja dihubungkan kepada data asas JAKIM malah diperluaskan kepada 67 badan pensijilan global yang dikenal pasti JAKIM.

"Kami mahu aplikasi ini menjadi medan rujukan jenama halal dan pengguna global, platform kepada semua jenis pengguna dan jenama bagi menghubungkan jurang maklumat atau persoalan serta pemacu kepada pertumbuhan dan ketelusan industri halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 4:59 PM