Skip this ad x
Abd Razak (tiga kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM967,898.16 kepada Nik Mohd Azlan di Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan oleh Maybank Islamic Berhad bagi tahun 2016 di Bangunan MAIK, Kota Bharu. FOTO Faris Zainuldin
Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjangkakan 189 rumah kekal yang dikelolakan pihaknya akan diserahkan kepada mangsa banjir, Julai ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, rumah itu membabitkan mangsa di Gua Musang dan Kuala Krai.

"Ada 129 unit dibina di Gua Musang iaitu 50 unit di Tanah Puteh, Simpang Pulai (38) dan Limau Kasturi (41), manakala Kuala Krai dibangunkan 60 unit semuanya di Kampung Telekung.

"Saya difahamkan rumah ini ada yang sudah siap dibina dan ada yang masih dalam proses, jadi mangsa banjir yang belum terima rumah, boleh menghubungi Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) masing-masing untuk mengetahui status terkini rumah kekal mereka," katanya di sini, hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata, pihaknya bertanggungjawab menyalurkan peruntukan wang zakat kepada PTJ dan kerajaan negeri untuk pembinaan rumah kekal itu.

Katanya, kos seunit rumah bernilai antara RM38,000 hingga RM40,000 dengan penerima dijangka memperoleh kunci pada Julai nanti.

Terdahulu, beliau mewakili MAIK menerima zakat perniagaan berjumlah RM967,898.16 sumbangan Maybank Sektor Pantai Timur yang disampaikan Pengarahnya, Abd Razak Kamardin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 3:44 PM