Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan kanak-kanak yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Siti Nor Amirah Abu Bakar


KANAK-kanak lelaki berusia 10 tahun berdepan detik cemas apabila separuh badannya tersangkut pada pintu jeriji kira-kira 40 minit sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Seksyen 26, Shah Alam 11 pagi hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa cuba keluar dari rumahnya di tingkat 14 blok C pangsapuri berkenaan.

Kanak-kanak itu menangis sebelum ditemui jirannya yang dalam perjalanan keluar ke tempat kerja.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam Azmel Kamarudin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 11.12 pagi.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati kanak-kanak itu menangis kesakitan akibat tersepit.

"Kami berusaha mengeluarkan kanak-kanak berkenaan dengan memotong besi jeriji itu menggunakan pemotong hidraulik.

"Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada ibunya yang bekerja di sebuah taska berhampiran kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 4:35 PM