SEORANG lelaki ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik berdekatan sebuah kolam udang.
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG lelaki ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik berdekatan sebuah kolam udang di Teluk Senangin, Segari, Manjung, Perak, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi, mangsa berusia 24 tahun ditemui pekerja kolam yang melalui kawasan itu sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, anggota yang tiba di lokasi mendapati mangsa dipercayai berada dalam keadaan mengiring di tepi sungai berdekatan dengan kolam udang berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan di kawasan sekitar lokasi kejadian mendapati terdapat kabel elektrik dipasang pada pagar zink kolam itu.

"Pemeriksaan lanjut pada badan mangsa bagaimanapun tiada unsur jenayah dan siasatan di lokasi juga tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan jenayah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat renjatan elektrik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 5:22 PM