DR Irmohizam
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus yang berlaku sejak awal Ramadan bukan disebabkan kekurangan bekalan, sebaliknya tindakan peniaga dan ‘orang tengah’ yang mengambil kesempatan sempena musim perayaan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya mendapati kenaikan itu tidak munasabah kerana jumlah pendaratan ikan di kompleks pendaratan seluruh negara meningkat ketika ini.

Katanya, hasil perjumpaan dengan wakil Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perikanan dan LKIM baru-baru ini juga dimaklumkan bahawa tempoh Mac hingga September adalah musim ikan terbanyak di negara ini.

Menurut beliau, jumlah pendaratan ikan oleh nelayan bagi April dan Mei lalu adalah lebih 153 juta kilogram dengan nilai lebih RM455 juta.

Justeru, beliau memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menyorokkan bekalan itu dan tidak sesekali menaikkan harga ikan kerana tindakan itu mengakibatkan pengguna panik serta menyalahkan kerajaan.

“Kenaikan ini berlaku kerana tindakan orang tengah yang melakukan eksploitasi terhadap nelayan dan mereka biasanya memikirkan keuntungan lebih daripada kesejahteraan rakyat.

“Walaupun kenaikan harga ini dianggap sebagai trend sementara kerana permintaan pada musim perayaan, tindakan seperti ini tidak adil kepada pengguna yang ketika ini sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Peniaga juga haruslah ada sifat perikemanusiaan dan empati kepada rakyat,” katanya.

Irmohizam menasihati pengguna melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sekiranya mendapati harga ikan yang dijual melambung naik.

Beliau turut menyarankan KPDNKK menyenarai hitam peniaga yang sengaja menaikkan harga ikan sebagai langkah pencegahan supaya mereka menjual ikan pada harga berpatutan kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 3:52 AM