AISHA menunjukkan nasi Arab yang dijualnya di bazar Ramadan.
MUHAMMAD Nadzwa terkenal dengan hidangan burung puyuh berempah di Bazar Ramadan Taman Melewar.
Siti Fatimah Nasir

Gombak: Kelainan memperkenalkan menu burung puyuh berempah menjadikan gerai pasangan suami isteri di Bazar Ramadan Taman Melewar, di sini, sentiasa dipenuhi pengunjung setiap kali Ramadan.

Daripada membuka gerai kecil di bawah pokok dan mengambil pesanan serta khidmat penghantaran burung puyuh berempah menggunakan motosikal, pasangan itu kini maju setapak dengan membuka perniagaan di bazar Ramadan.

Pengurus Burung Puyuh Berempah, Nurul Saidatul Nadia Loqman, 27, berkata, menu burung puyuh berempah yang dijual itu hasil daripada resipi turun temurun yang dicipta ibunya sendiri.

“Pada mulanya, saya hanya mahu membuka gerai burung puyuh biasa, tetapi atas tunjuk ajar daripada ibu, saya mempelajari cara untuk membuat burung puyuh berempah.

“Hidangan menu burung puyuh berempah di gerai saya pasti tidak lengkap jika tiada nasi putih, kuah kari dan sambal belacan. Jadi, saya mula menambah baik resipi berdasarkan tunjuk ajar ibu supaya bertambah lazat dan sedap,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Taman Melewar, di sini.

Nurul Saidatul Nadia antara usahawan wanita tempatan yang terbabit dalam program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih lima juta usahawan wanita menjelang 2020 melalui program ini.

Menurut beliau, perniagaannya sentiasa mendapat sokongan daripada ahli keluarga terutama suami, Muhammad Nadzwa Shah Saarin, 29, yang mengambil pesanan burung puyuh daripada pembekal di Melaka.

“Keunikan rasa burung puyuh berempah ini sememangnya lazat kerana ia disaluti bersama serai, jintan putih, kulit kayu manis, jintan halus, lengkuas, halia dan serbuk kunyit yang diperap selama seminggu,” katanya.

Katanya, perniagaan menjual burung puyuh berempah ini terhasil apabila dia dan suaminya membuat tinjauan di bazar Ramadan dan menyedari jarang ada gerai menjual juadah burung puyuh berempah.

“Sepanjang Ramadan ini, saya menjual hidangan burung puyuh berempah bersama hidangan tambahan seperti nasi goreng dan bihun goreng di gerai untuk mempelbagaikan juadah berbuka puasa kepada orang ramai.

“Di samping itu, dengan adanya menu burung puyuh berempah ini, ia sekali gus dapat mengetengahkan hidangan ini kepada orang ramai dan mengubah mentaliti mereka terhadap menu burung puyuh yang dianggap kurang popular dalam kalangan warga kota,” katanya.

Dia juga mempunyai perancangan untuk meluaskan perniagaan dengan menyediakan menu baru iaitu burung puyuh cili padi tidak lama lagi.

“Sebagai pemilik gerai kecil, latihan Coca-Cola KU memberikan saya idea untuk lebih kompetitif dengan pesaing melalui makanan berkualiti, penetapan harga dan pembungkusan menarik.” - Nurul Saidatul Nadia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 5:13 AM