Fardy Bungga


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan dua sindiket dadah berasingan membabitkan penyeludupan kokain dan pengedaran syabu bernilai keseluruhan RM2.28 juta, kelmarin.

Timbalan Komander Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Senior Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan pertama pada 8.30 malam itu dilakukan di kedai gunting rambut di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan tiga lelaki berusia 21 hingga 37 tahun termasuk seorang warga India ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui 20.4 kilogram syabu dan sindiket dipercayai menjalankan aktiviti pembungkusan semula untuk diedarkan dalam kalangan pengedar kecil-kecilan.

"Nilai keseluruhan syabu yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.43 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

"Operasi kedua dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 malam hari yang sama dan polis menahan lelaki berusia 24 tahun yang diupah sebagai keldai dadah,"katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, ketika ditahan, lelaki terbabit didapati membawa 3.3 kilogram dadah jenis kokain yang dimasukkan ke dalam 181 kapsul coklat.

Arjunaidi berkata, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM850,000 dan ia dipercayai bukan untuk pasaran tempatan sebaliknya akan diseludup keluar ke negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 11:35 AM
ARJUNAIDI (tiga kanan) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Fardy Bungga