KHAIRIL Azwan dan Nur Ayuni melihat Muhammad Khayri Ammar yang menghidap masalah injap terbalik.
Siti Salmiah A Hamid


Kuala Lumpur: Bayi berusia dua bulan yang mengalami masalah injap jantung terbalik, memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Muhammad Khayri Ammar, dua bulan, dikesan mempunyai masalah injap jantung terbalik sebaik dilahirkan dan memerlukan RM60,000 untuk pembedahan.

Bapanya, Khairil Azwan Mohamad Kassim, 26, buntu memikirkan keadaan dengan pendapatan RM1,096.50 sebulan sebagai operator kilang menyukarkan dia menanggung kos pembedahan.

Isterinya, Nur Ayuni Mohd Salleh, 25, juga mempunyai pendapatan sama sebagai operator kilang, namun ia tetap tidak mampu memenuhi kos pembedahan.

“Ketika dalam kandungan, bayi kami dikesan mempunyai degupan jantung yang rendah, tetapi doktor tidak mengesahkan dia menghidap apa-apa penyakit.

“Selepas dilahirkan, barulah doktor mengenal pasti sebelum mengesahkan Ammar menghidap penyakit transposition great arteries (TGA) atau injap jantung terbalik.

“Ammar juga sudah menjalani pembedahan pintasan, namun dia mengalami demam dan terkena jangkitan kuman seminggu selepas itu.

“Justeru, pembedahan untuk masalah injap jantung terbalik ini perlu ditangguh sehingga dia sembuh daripada demam,” katanya di sini, semalam.

Disebabkan tidak mampu bernafas secara semula jadi, bayi berkenaan perlu bergantung kepada ubat ‘prostin’ yang dibekalkan Gleneagles Kuala Lumpur bagi membolehkannya kekal bernafas.

Malah, Ammar juga terpaksa menyusu menggunakan tiub yang ditebuk terus ke perutnya.

Khairil Azwan dan isterinya, berharap bayi mereka dapat menjalani pembedahan agar hidupnya normal seperti kanak-kanak lain.

Katanya, badan bayinya akan kebiruan disebabkan tiada aliran oksigen dan ia boleh mengakibatkan kematian.

Menurut Khairil Azwan, bayinya mempunyai 99 peratus peluang untuk hidup selepas menjalani pembedahan berkenaan.

“Saya meletak harapan yang tinggi agar bayi kami dapat dipulihkan dan berharap orang ramai juga mendoakan kesihatan Khayri Ammar,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 6:04 AM