GAMBAR adalah ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


EMPAT remaja ditahan selepas menunggang secara berbahaya di sekitar Alor Setar dalam Ops Samseng Jalanan, tengah malam tadi.

Malah, bagaikan tidak menghormati Ramadan apabila mereka berusia 18 dan 20 tahun itu menunggang dan melakukan 'wheelie' yang turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata seorang pegawai dan enam anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Setar dibantu tujuh Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam ops itu.

Menurutnya, ops itu tertumpu di kawasan Jalan Pegawai, Kuala Kedah, Kancut dan Kepala Batas.

Katanya, 38 individu diperiksa manakala tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

"Selain itu empat lelaki turut ditahan kerana menunggang motosikal berbahaya dan motosikal mereka turut dirampas.

"Kita akan memohon perintah tahanan reman ke atas penunggang motosikal yang ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, katanya, polis mahu ibu bapa memantau pergerakan anak mereka kerana kebanyakan yang diperiksa adalah remaja dan masih bersekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 12:57 PM