Rudy Fazrunisyam Samarudin


SERAMAI 50 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Johor yang menggempur tiga pusat hiburan dan sebuah pusat urut di Muar, Johor, awal pagi hari ini, menahan 74 wanita warga asing dipercayai berkerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Serbuan yang bermula 11 malam dan berakhir lima jam kemudian itu turut menahan enam warga tempatan dipercayai pemilik dan penjaga premis terbabit.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari, berkata warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar itu adalah wanita dari Vietnam, Thailand, Indonesia dan China berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Katanya, serbuan dilakukan hasil aduan awam dan pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing berkenaan melakukan kesalahan salah guna pas lawatan serta tiada dokumen perjalanan sah.

"Warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1963 serta Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963, manakala bagi warga tempatan, mereka disiasat mengikut Sesyen 55B Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 55E akta sama," katanya.

Rohaizi berkata, semua wanita warga asing dan enam warga tempatan yang ditahan dibawa ke Lokap Imigresen Johor di Setia Tropika, Johor Bahru bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 1:37 PM
Antara wanita asing yang ditahan kerana kesalahan imigresen di Muar, Johor, awal pagi, hari ini. - Foto BADRUL KAMAL ZAKARIA