KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas bertembung dengan lori ais. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


LELAKI warga emas maut selepas kereta dipandu bertembung lori di Kampung Jamuan, Kuala Kangsar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu mangsa Kamaruddin Maat, 66, beralamat di Chepor, Ipoh meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kereta jenis Perodua Kancil dipandunya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Pegawai Kanan Bomba ll, Shamsu Bahrin Abd Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian 12.16 tengah hari dan sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori ais.

"Pemandu kereta berkenaan tersepit dalam kenderaan yang remuk dan pihak paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi itu tamat 12.52 tengah hari dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak polis untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 2:20 PM