Pengerusi MACMA Melaka, Lim Jooi Soon membimbing Siti (kanan) melafazkan dua kalimah syahadah sambil diperhatikan oleh Setiausaha MACMA Melaka, Nur Caren Chung pada Majlis Pengislaman di Pejabat MACMA Melaka di Pusat Niaga Bukit Palah, Bukit Baru. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


WANITA Tionghua berusia 25 tahun memilih hari ini sebagai hari pertama bergelar Muslimah.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Siti berkata, dia mula mengenali Islam pada 2011, apabila tinggal di asrama bersama rakan beragama Islam.

"Sejak itu saya sering bertanyakan rakan, mengapa dia perlu bersolat lima waktu dan dia memberitahu solat itu kewajipan dan mereka beroleh ketenangan setiap kali bersolat," katanya di Melaka, hari ini.

Begitupun, kekuatannya untuk memeluk Islam hadir kira-kira dua minggu lalu, apabila menghubungi Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Melaka (MACMA) Lim Jooi Soon, menyuarakan hasratnya.

"Saya beritahu saya mahu memeluk Islam. Dia bertanyakan sama ada keputusan ini dipaksa atau sebab lain, saya beritahu keputusan ini atas kerelaan sendiri," katanya.

Kira-kira 3 petang hari ini, Siti mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Lim Jooi Soon di Pejabat MACMA Melaka di Pusat Niaga Bukit Palah, Bukit Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 4:42 PM