Kesan darah di luar kedai runcit yang tidak dibuka selepas kejadian. - Foto Omar Osman

BERANG wang diperoleh sedikit ketika menyamun kedai runcit di Teluk Wang Besar, Sungai Petani, semalam, seorang lelaki menetak tangan kiri dan belakang lelaki Pakistan, 30.

Malang juga menimpa dua penjenayah itu apabila tidak mendapat sebarang hasil kerana barang, termasuk wang dalam beg galas dibawa bertaburan dalam kedai selepas seorang suspek terjatuh ketika mahu melarikan diri.

Dalam kejadian 7.20 malam itu, mangsa yang berseorangan di kedai kerana isterinya pulang untuk berbuka puasa, didatangi dua lelaki bertopi keledar yang menyerbu masuk dengan seorang daripada suspek bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata seorang suspek menghentak meja menggunakan parang dan mereka mereka merampas sejumlah wang serta telefon bimbit.

Bagaimanapun menurutnya, wang yang diperoleh tidak banyak menyebabkan suspek berang dan memaksa mangsa menyerahkan semua wang yang ada dalam simpanannya namun mangsa beritahu tiada lagi wang.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian menetak tangan kiri dan belakang mangsa sebelum melarikan diri.

Namun akibat terlalu panik, seorang suspek terjatuh menyebabkan hasil samun bertaburan dalam kedai.

"Mereka kemudian beredar dengan motosikal yang diletak di hadapan kedai tanpa memperoleh hasil samun," katanya.

Md Zukir berkata, mangsa yang cedera berlari keluar meminta bantuan orang kampung dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan,

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 3:18 PM