Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Amniera Naziera Amran
Junaidi Ladjana dan Amniera Naziera Amran

 

SEORANG pemandu lori kontena menahan sakit hampir 40 minit apabila kakinya tersepit selepas kenderaan dipandu terbabas dan merempuh tebing di pembahagi jalan di Jalan Sepanggar, berhampiran Kampung Pak Pak, Kota Kinabalu, jam 9.45 malam semalam.

Salleh Usman, 22, kemudian dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, untuk rawatan.

Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.51 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu dari arah Pelabuhan Sepanggar menuju ke Indah Permai dekat sini.

“Tiba di lokasi, muatan kontena terjatuh ke sebelah kanan menyebabkan lori hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tebing pembahagi jalan.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59.

Sementara itu, saksi kejadian, Salim Andil, 43, berkata, dia yang memandu Perodua Kancil dari arah bertentangan menyaksikan lori kontena terbabit terbabas.

“Saya memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum bersama-sama penduduk berhampiran cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit namun gagal.

“Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian berjaya mengeluarkan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 2:19 PM