Aireen (kanan) bersama Abdul Karim Rahman (dua dari kanan) dan Lee (tiga dari kiri) menunggu ketibaan penerbangan sulung AirAsia dari Pontianak ke Kuching di LTAK. FOTO Mat Latif Ahmad
Mohd Latif Ahmad


Kuching: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia mahu menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi pelancong yang mahu melawat kepulauan Borneo.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata, untuk tujuan itu, pihaknya kini meninjau laluan terus melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebagai pintu masuk dari China dan Australia, selain negara lain di ASEAN, Indochina dan Asia Utara.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk merealisasikan inisiatif itu dan berharap dapat memulakan proses berkenaan menjelang tahun depan.

“Ini sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka di rantau ini.

“Kami percaya negeri ini berpotensi untuk berkembang lebih maju kerana mempunyai produk pelancongan yang tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Meraikan Ketibaan Penerbangan Sulung Pontianak, Indonesia ke Kuching di LTAK di sini, kelmarin.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri Datuk Lee Kim Shin dan Timbalan Konsul Indonesia di Kuching Muhammad Abdullah.

Mengenai laluan baru Kuching-Pontianak, Aireen berkata, pihaknya yakin ketibaan pelancong dari Indonesia ke Sarawak akan terus bertambah melalui pembukaan laluan ini.

“Ia juga selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menarik lima juta pelancong ke Sarawak tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 5:44 PM