Izlaily Nurul Ain Hussein


LIMA individu termasuk seorang wanita ditahan di dua lokasi berasingan dekat Johor Bahru, kelmarin, kerana disyaki terbabit dalam kes samun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 42 tahun.

"Bertindak atas maklumat, pada 8.30 malam, sepasukan anggota polis berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita di sebuah kedai makan di Taman Daya dan di rumah flat di Taman Desa Tebrau.

"Mereka disyaki terbabit dalam kes samun di sebuah kedai dobi di Taman Desa Tebrau dan di sekitar bandar raya ini," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dan rumah didiami suspek, polis menjumpai dan merampas pelbagai barangan.

Katanya, semakan pihaknya turut mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 8:10 PM