NURUL Huda (dua dari kiri) bersama anaknya melihat gambar dikirimkan Abdul Rashid di rumahnya di Taman Permint Perdana, Seberang Takir.


Kuala Nerus: “Kali ni saya keluar jauh sikit, nak cari duit lebih untuk persiapan perkahwinan anak kita.” Itu ungkapan akhir Abdul Rashid Nik, 52, nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu kepada isterinya, Nurul Huda Yatim, 43, sebelum meninggalkan rumah pada 4 April lalu.

Bagaimanapun, hasrat lelaki terbabit membuat persiapan majlis perkahwinan anak sulungnya, Mohamad Hamizzul Kamal, 25, pada 21 April lalu tidak kesampaian apabila dia bersama lima awak-awak termasuk seorang warga Thailand menjadi tahanan kerajaan Indonesia. Bot yang mereka naiki tanpa disedari tersasar melepasi perairan antarabangsa sebelum ditahan kapal tentera Indonesia jam 11.30 tengah hari, 8 April lalu.

“Dia kerap menghubungi saya dan bertanyakan hal anak-anak menggunakan telefon bimbit milik nelayan Vietnam yang ditahan di kem itu.

“Sebelum ke rumah pengantin perempuan untuk majlis akad nikah, dia telefon saya dan sempat pesan pada anak supaya buat (akad nikah) dan meminta saya menghantar gambar majlis itu menerusi WhatsApp.

“Setiap gambar kami kirimkan kepada suami dengan bantuan adik angkatnya yang tinggal di Kuantan.

“Walaupun luarannya dia nampak gembira melihat gambar itu, naluri seorang isteri saya tahu dia sedih tidak dapat bersama pada hari bahagia itu, apatah lagi ia majlis pertama dalam keluarga kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Kos Rendah Taman Permint Perdana, Seberang Takir, di sini, semalam.

Nurul Huda berkata, dia berharap suaminya dapat dibebaskan sebelum Aidilfitri, meskipun sedar ia sesuatu yang sukar kerana lelaki terbabit memiliki rekod lampau dan pernah ditahan selama dua tahun kerana kesalahan sama 17 tahun lalu.

Katanya, setiap hari lima anaknya, Nur Syahirah, 23, Umi Najihah, 20, Nur Iman Solehah, 18, dan Umi Darwisyah, 8, serta Mohamad Hamizzul Kamal tidak henti bertanyakan bila bapa mereka akan dibebaskan.

Dua daripada lima anaknya, Mohamad Hamizzul Kamal dan Nur Syahirah bekerja di Kuantan manakala tiga lagi tinggal bersamanya.

“Menitis air mata saya melihat setiap malam anak tidur sambil memeluk dan mencium pakaian ayahnya yang dibawa pulang adik ipar, Abdul Halim Nik dan Fadli Jaafar, yang dibebaskan pada 26 Mei lalu,” katanya.

Nurul Huda berkata, dia tidak menyangka kejadian 17 tahun lalu berulang dan sedih kerana ia berlaku pada bulan Ramadan.

“Biarpun perit namun saya tabah mengharunginya kerana ini adalah dugaan Allah dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya.

Selain Abdul Halim, 43, dan Fadli, 41, dua lagi yang ditahan ialah Mohd Zaidi Mohammad, 23, dari Kampung Seberang Takir dan Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman, Terengganu.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi dan Firdaus sudah dibenarkan pulang, tetapi ditahan sementara untuk menjadi saksi perbicaraan Rashid yang juga tekong bot berkenaan.

Pembebasan nelayan terbabit adalah hasil rundingan kerajaan negeri menerusi koordinator perunding yang dibuat sebaik mereka ditahan April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 5:45 AM