TERNAKAN yang dijangkiti hawar berdarah tidak menunjukkan tanda klinikal yang ketara sebelum mati.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Sebanyak 245 kes ternakan seperti kerbau dan lembu mati akibat dijangkiti Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah di sekitar daerah ini dan Marang.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, wabak itu merebak sangat cepat sehingga ternakan yang dijangkiti gagal diselamatkan.

“Sebanyak 185 lembu dan 40 kerbau di Felda Rantau Abang 1 dan 2, Marang, manakala sembilan lembu dan 11 kerbau di daerah ini mati akibat penyakit itu.

“Antara tanda ternakan diserang wabak itu apabila ternakan kelesuan, murung, tidak aktif, demam serta mulut dan hidung berair selain bengkak pada kepala, leher dan dada.

“Jika haiwan mengalami masalah penafasan dahulu, kematian ternakan berlaku cepat dan tanda klinikal penyakit tidak ketara malah tidak dapat dilihat,” katanya, semalam.

Mohd Termizi berkata, penyakit itu dikesan pada 26 Mei lalu di Felda Rantau Abang 1 dan 2 apabila keputusan makmal mendapati ternakan itu dijangkiti HS.

“Kematian ternakan adalah tinggi. Justeru, pemantauan dijalankan bagi membendung penyakit itu merebak melalui pemvaksinan dan suntikan antibiotik.

“Sehingga kini, 959 ternakan disuntik vaksin, antibiotik dan jangkitan penyakit itu melalui perhubungan terus dan air minuman,” katanya.

Berhubung dakwaan yang tular kononnya JPV negeri mengeluarkan amaran supaya masyarakat tidak membeli daging lembu dan kerbau yang dijual di negeri ini beliau berkata ia tidak benar.

“Kami tidak mengeluarkan amaran atau halangan membeli daging seperti ditularkan, cuma menasihat dan mencadangkan orang ramai mendapatkan bekalan daging daripada pembekal dipercayai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 5:58 AM