Mohd Adih ditempatkan di ICU HRPZ II. FOTO Ihsan Keluarga
Mohammad Ishak


KANAK-KANAK berusia tujuh tahun parah selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Jertih, petang semalam.

Mohd Adih Isyraf Ruzman dikatakan terjatuh selepas pergi bermain di kawasan sekolah berkenaan bersama beberapa lagi rakannya kira-kira jam 6.30 petang.

Mangsa bersama rakannya itu dipercayai naik ke tingkat empat bangunan sekolah itu dan dikatakan cuba memanjat tangki air di situ sebelum terjatuh.

Bapanya, Ruzman Jaafar, 45, berkata, dia sedang berehat di rumah selepas pulang dari kerja terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya mengenai kejadian itu.

Katanya, apabila bergegas ke tempat kejadian didapati anaknya itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

"Saya terus mengangkatnya dan membawa mangsa ke Hospital Besut untuk mendapat rawatan," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, disebabkan keadaan mangsa yang parah di badan dan paru-parunya turut terjejas dipercayai kesan terjatuh, dia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Ruzman yang bekerja sebagai juruelektrik tinggal di kuarters guru sekolah itu tetapi anaknya belajar di SK Bukit Payong, Hulu Besut, kerana mengikut ibunya yang mengajar di sekolah terbabit.

Katanya, Mohd Adih kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II dan keadaannya stabil tetapi memerlukan pemantauan pihak perubatan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya belum menerima laporan daripada keluarga mangsa mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 3:38 PM