Moh Zamri menunjukkan mercun yang dirampas. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my


POLIS menahan operator kilang selepas merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM8,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kubang Ikan, Jertih, semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan 4 pagi hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan mendapatkan bekalan terbabit dari Thailand.

Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai menyeludup bahan-bahan terlarang itu ke negara ini sebelum membawanya ke Besut dengan menggunakan lori.

Katanya, mercun berkenaan ditutupi dengan barangan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa ketika melalui sekatan di sempadan sebelum dibawa ke Besut.

"Berdasarkan siasatan kami didapati lelaki berkenaan adalah pengedar bahan itu di daerah ini kerana dia dipercayai menjadi pembekal dan penjual kepada peniaga lain," katanya ketika sidang media hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh dikatakan lelaki berkenaan mampu meraih sehingga RM24,000 daripada mercun bernilai RM8,000 itu.

Katanya, lelaki berkenaan kini direman sehingga 11 Jun ini untuk siasatan lanjut mebgikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 3:56 PM