Wong Ching Yong


TIMBALAN Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong, 59, disimbah asid dimukanya di Jalan Bindang, Sibu, jam 12.15 tengah hari, hari ini.

Dalam kejadian itu, difahamkan mangsa sedang menuju ke kereta yang diletakkan berhampiran pejabatnya di Lorong Tuanku Osman 4 di jalan terbabit sebelum dua lelaki menaiki motosikal menyimbah mangsa dengan asid.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa cedera 18 peratus di muka dan bahagian kiri badannya.

“Ketika berjalan menuju ke kenderaannya, suspek memanggil nama mangsa dan apabila mangsa menoleh, salah seorang suspek terus menyimbah cecair asid ke muka dan badan mangsa.

"Mangsa kemudiannya membasuh muka di sebuah kedai berdekatan sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta di bandar ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro sebentar tadi.

Saiful Bahri berkata, mangsa sudah diterbangkan ke Hospital Umum Kuching menggunakan helikopter petang tadi bagi menjalani rawatan lanjut.

"Identiti suspek masih belum dikenal pasti. Kami kini sedang berusaha mengesan suspek yang terbabit di dalam kes ini," katanya.

Harian Metro difahamkan, Wong yang juga seorang akauntan adalah antara tiga individu yang disebut-sebut sebagai bakal menjadi calon SUPP untuk Parlimen Lanang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 10:05 PM