GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Idris Musa


PEKERJA sendiri terutama pemandu teksi disaran agar segera mendapatkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, pemandu teksi yang layak dilindungi bawah skim ini adalah warganegara Malaysia atau permastautin tetap dan berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) atau Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak.

"Mana-mana orang yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya seperti perkhidmatan Uber dan Grab adalah layak juga dilindungi bawah skim ini mengikut peraturan spesifik yang akan dikeluarkan," katanya yang diwakili oleh Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib pada Majlis Berbuka Puasa PERKESO, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutifnya Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Melalui skim itu, pemandu teksi yang bekerja sendiri dikehendaki mendaftar dan mencarum kepada PERKESO secara dalam talian dalam portal iPERKESO.

Sementara itu, Richard berkata, PERKESO juga menaikkan kadar amaun faedah pengurusan mayat daripada RM1,500 kepada RM2,000 berkuat kuasa pada 1 Julai tahun lalu.

"Melalui pindaan ini, semua faedah pengurusan mayat membabitkan kematian pada atau selepas 1 Julai 2016 akan dibayar dengan kadar amaun RM2,000," katanya.

Katanya, kenaikan amaun sebanyak 33 peratus itu adalah wajar memandangkan kos pengurusan mayat kini sudah meningkat dan supaya selaras dengan keadaan ekonomi semasa sekali gus tidak membebankan waris pencarum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 10:56 PM