Najib bersama Noh (dua dari kiri) dan Halimah pada majlis Pelancaran RFN ke-3, DPN2 dan DPF Desa Negara di PICC, semalam.
Mohd Husni Mohd Nor


Putrajaya: Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) yang merangkumi Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN Ke-3), Dasar Perbandaran Negeri Ke-2 (DPN Ke-2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) memastikan pembangunan seimbang dan saksama di setiap ceruk rantau tidak kira kampung, desa dan bandar di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau percaya dokumen perancangan yang dirangka itu berpaksikan manifestasi dan mengambil kira pandangan, kemahuan serta aspirasi dan keperluan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, ia mustahak kerana menjelang tahun 2020, kadar urbanisasi di negara ini dijangka mencecah 77 peratus dan terus meningkat kepada 85 peratus pada tahun 2040.

“Jadi, peningkatan bilangan penduduk di kawasan bandar pasti menimbulkan tekanan terhadap kapasiti infrastruktur dan utiliti, kemudahan masyarakat, aspek perumahan, perkhidmatan dan keperluan makanan.

“Kesannya, kadar penduduk Malaysia yang tinggal di desa dijangka menurun 23 peratus menjelang 2020 dan hanya tinggal 15 peratus menjelang 2040,” katanya pada majlis pelancaran RFN Ke-3, DPN Ke-2 dan (DPF Desa Negara), di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan timbalannya, Datuk Halimah Mohd Sadique.

Justeru, katanya, keadaan ini memerlukan pengukuhan dan lonjakan dari segi kemampuan daya saing ekonomi kawasan desa khususnya bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan rantaian nilai aktiviti ekonomi seimbang antara bandar serta desa.

Najib berkata, beliau yakin hal berkenaan diambil kira dan ditangani di dalam penyediaan ketiga-tiga dokumen berkenaan.

Menurutnya, dokumen berkenaan bukan saja amat penting bagi masa depan Malaysia bahkan bakal menjadi rujukan dan panduan bersama kepada semua kementerian serta jabatan dan agensi dalam usaha merancang serta membangunkan negara.

Katanya, bagi DPN pula, ia dasar yang memandu dan menyelaras perancangan pembangunan serta pentadbiran perbandaran supaya lebih efisien dan sistematik dengan penekanan terhadap keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi serta fizikal.

Najib berkata, DPN dimulakan pada 2006 sehingga kepada DPN Ke-2 yang bermula pada 2016 dan tempoh perancangannya sehingga 2025.

Sementara itu, katanya, DPF Desa Negara pula adalah dasar pembangunan desa yang pertama di Malaysia berbentuk spatial yang bertujuan mewujudkan perancangan holistik bagi pembangunan desa dan melengkapkan DPN.

“Ketiga-tiga dokumen perancangan itu antara lain menjadi rujukan utama oleh pelbagai agensi dalam merangka program pembangunan fizikal negara. Ia juga menjadi instrumen bagi mencapai kualiti persekitaran dan pembangunan lestari serta berperanan sebagai tindak balas terhadap globalisasi dan kepesatan pembangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:32 AM