ANGGOTA bomba membawa turun mayat mangsa yang tersangkut pada tiang elektrik menggunakan tali di Taman Desa Mewah, Semenyih, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas terkena renjatan elektrik ketika membaiki kabel elektrik di Taman Desa Mewah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Nazrul Islam, 30, diturunkan oleh anggota bomba dengan menggunakan tali selepas mayatnya tersangkut pada tiang elektrik itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih Zainal Elias Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan yang juga rakan sekerja mangsa memaklumkan kejadian itu pada jam 2.28 petang.

“Seramai sembilan pegawai dan anggota bomba bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami mendapati mayat mangsa masih tergantung di tiang elektrik berkenaan.

“Kami menunggu Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mematikan bekalan elektrik di kawasan itu sebelum memulakan operasi menurunkan mayat mangsa menggunakan tali,” katanya.

Zainal berkata, pihaknya mengambil masa kurang 20 minit untuk menurunkan mayat mangsa yang juga pekerja sub kontraktor sebuah syarikat penyelenggara elektrik berkenaan.

“Sebaik mayat dibawa turun, pasukan perubatan membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:41 AM