Sultan Sharafuddin menyiram air di pusara Almarhum Tengku Puteri Sofiah. FOTO Roslin Mat Tahir
Siti Nor Amirah Abu Bakar
am@hmetro.com.my


JENAZAH adinda Sultan Selangor, Tengku Puteri Sofiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 68, yang mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang petang semalam, selamat disemadikan jam 11 pagi ini di Makam Diraja Shah Alam.

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada kerabat diraja, Orang Besar dan rakyat jelata hadir pada upacara pemakaman itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum adinda Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jenazah Tengku Puteri Sofiah dibawa masuk ke makam menggunakan pengusung diraja oleh anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan diiringi Jejawat Diraja sambil diseliakan Bentara Diraja.

Turut mengiringi jenazah adalah Sultan Sharafuddin dan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda, Tengku Amir Shah.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, jenazah Tengku Puteri Sofiah selamat disiram dan disembahyangkan dengan diimamkan oleh Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Almarhum Tengku Puteri Sofiah yang juga anakanda kedua Almarhum Sultan Salahuddin meninggalkan tiga anak dan dua cucu.

Anak sulung Almarhum, Raja Jasrill Ashrull Raja Jaafar, 37, berkata, bondanya menghembuskan nafas terakhir jam 3.10 petang semalam akibat komplikasi buah pinggang dan hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 1:14 PM