Juragan dan awak-awak yang ditangkap bersama rokok seludup. FOTO Ihsan PPM
Junaidi Ladjana


CUBAAN juragan dan seorang awak-awak warga asing menyeludup masuk rokok pelbagai jenis di Tawau sebanyak 8,850 bungkus bernilai RM36,200 gagal apabila mereka dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di jeti perumahan atas air Icebox, dekat Tawau, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazri Ibrahim berkata, sepasukan tujuh anggota PPM Tawau yang sedang menjalankan Ops Landai di kawasan perumahan atas air itu terserempak sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan jam 10 malam.

"Hasil pemeriksaan melihat beberapa orang sedang memunggah barang-barang berupa kotak dari bot laju ke atas jeti di kawasan perumahan berkenaan.

"Anggota PPM kemudian membuat serbuan dan menahan dua lelaki yang disyaki sebagai juragan dan seorang awak-awak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui pelbagai jenis rokok yang dipercayai diseludup dari Indonesia.

“Rokok yang dirampas sebanyak 8,850 bungkus yang dianggarkan bernilai RM36,200.

“PPM turut merampas bot, enjin dan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM110,200," katanya.

Tambah Nazri, pemeriksaan juragan, 34, dan awak-awak, 23, mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Tangkapan dan semua barang rampasan kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

#kw rokok seludup dirampas

#loc 4.2446510000000002, 117.8911861

Caption:

1. BOT laju yang membawa muatan rokok yang diseludup masuk ke Tawau ditahan PPM Tawau dalam Ops Landai di kawasan laut Icebox, Tawau.

2. DUA suspek bersama barang rampasan yang ditahan PPM Tawau dalam Ops Landai di kawasan laut Icebox, Tawau.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 5:10 PM