Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menujukkan sebahagian dadah ya g dirampas. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas berjaya menahan tiga lelaki dan dua wanita serta merampas 206 kilogram ganja, Rabu lalu.

Dalam operasi 6.40 pagi hingga 10 malam itu, polis melancarkan tiga serbuan di Taman TTDI Groove dan Taman Sentosa Villa, Kajang sebelum menyerbu lokasi ketiga di Kampung Sungai Udang, Klang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 47 tahun dan mereka dikenal pasti saki baki kumpulan pengedar yang berjaya ditumpaskan polis tahun lalu.

Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM9,000 dan tiga kenderaan jenis Audi Q7, Proton Saga FL dan Van Era Commuter yang dipercayai digunakan untuk aktiviti dadah mereka.

"Suspek yang ditahan ini adalah saki baki ahli kumpulan pengedaran ganja yang pernah ditumpaskan polis pada Mac 2016 di Sungai Petani, Kedah membabitkan rampasan lebih satu tan.

"Kita percaya semua dadah ini dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan mengikut kepada kajian, ia boleh digunakan oleh 400,000 penagih," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, semua suspek direman selama enam hari sehingga 13 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 12:10 PM