PEGAWAI SPRM (kanan) dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, untuk mendapatkan reman. FOTO Amir Irsyad Omar
PEGAWAI SPRM (kanan) dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, untuk mendapatkan reman. FOTO Amir Irsyad Omar
Hadzlihady Hassan


PEGAWAI Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya yang ditahan selepas disyaki memeras ugut dan meminta rasuah daripada pegawai polis direman selama tiga hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.

Timbalan ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatan terbabit sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, selain mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, beberapa pegawai polis di negeri itu turut dipercayai menjadi mangsa pemerasan suspek.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui jumlah wang pemerasan yang diambil suspek dalam tempoh berkenaan," katanya.

Dalam kejadian jam 10 malam, suspek yang berusia 37 tahun ditahan selepas cuba meminta wang dan memeras ugut pegawai polis di Machang Bubok, di sini.

Polis turut merampas wang tunai RM3, 000, kad kuasa, kelongsong peluru 9mm jenis SME, sebuah Volkswagen Polo Sedan serta telefon bimbit.

Berita berkaitan:

SPRM alu-alukan tindakan tegas polis

Pegawai polis tangkap pegawai SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 1:19 PM