peserta yang menyertai Majlis Khatam dan Tadarus Al-Quran di Masjid Al-Azhariah Seksyen 18, semalam.

Shah Alam: Bersempena sambutan Nuzul al-Quran, seramai 50 wanita muda khatam al-Quran dalam tempoh empat jam di Masjid Al-Azhariah Seksyen 18, di sini, semalam.

Pada program anjuran Kelab Belia Wanita Muda Shah Alam itu, mereka dibahagikan kepada 15 kumpulan dengan masing-masing membaca dua surah.

Pengerusinya Nurulhusna Yem berkata, program seumpama itu julung kali dilaksanakan selepas pihaknya lebih banyak mengikuti program Tadarus al-Quran pada tahun terdahulu.

“Sebelum ini, program tadarus berkenaan dilihat tidak mendapat penyertaan memberangsangkan terutama daripada wanita muda.

“Oleh itu, kita mencari golongan berkenaan menerusi bantuan masyarakat setempat untuk menyertai program khatam al-Quran ini,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Turut hadir, Penyelaras Persekutuan Parlimen Shah Alam Datuk Azhari Shaari.

Pada program itu, Puteri UMNO Bahagian Shah Alam turut menyerahkan sumbangan kepada penerima berkelayakan dan bubur lambuk kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Azhari berkata, pihaknya merancang program keagamaan yang kini mendapat perhatian golongan muda.

“Kita akan melaksanakan lebih banyak program seumpama ini bukan saja pada Ramadan dengan turut mengetepikan fahaman politik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:03 AM