Anak yatim tiba di pusat beli-belah sempena Program Titipan Kasih, Jumaat lalu.
Anak yatim menaiki bas yang ditaja Irma Ariandi Enterprise untuk ke Giant Tampoi sempena Program Titipan Kasih Harian Metro 2017.
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik mendorong seorang usahawan wanita yang juga seorang profesional untuk menaja kemudahan pengangkutan sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Jumaat lalu.

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi merangkap Pengarah Irma Ariandi Enterprise, Irma Shida Abu Samah berkata, dia bersyukur kerana berpeluang menjalin kerjasama dengan Harian Metro bagi melancarkan TKHM.

Menurutnya, pihaknya menaja kemudahan bas kepada 200 anak yatim yang berasal dari kawasan pedalaman di sekitar Mukim Tanjung Kupang untuk menyertai aktiviti beli-belah menerusi program berkenaan.

Katanya, kemudahan bas berkenaan disediakan dari Masjid Al-Irsyad Desa Paya Mengkuang ke Forest City dan ke pasar raya Giant Tampoi, di sini, sebelum mereka dibawa pulang dan diserahkan kepada keluarga masing-masing di masjid berkenaan.

“Rezeki yang Allah beri pada kita, bukan semuanya hak kita, tambahan pula pada Ramadan, melihat anak tanpa kasih sayang ibu ayah, hati terpanggil untuk membantu.

“Sedikit sebanyak ia memeriahkan sambutan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, saya berharap ia mampu memupuk kesedaran ramai untuk membantu lebih ramai golongan kurang bernasib baik di seluruh negara.

“Syarikat kami kerap menjalankan inisiatif ke arah kebajikan kerana dengan tertubuhnya Irma Ariandi Enterprise, kami juga mewujudkan Tabung Bakti Irma Ariandi iaitu RM1 daripada jualan produk akan disalurkan dalam tabung itu untuk tujuan kebajikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:43 AM