Najib dan Rosmah menyampaikan simbolik penyampaian sumbangan kepada wakil pasukan beruniform. FOTO Asyraf Hamzah
Najib dan Rosmah menyampaikan simbolik penyampaian sumbangan kepada wakil pasukan beruniform. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Nasif Badruddin


PRINSIP wala dan taat kepada pemimpin membezakan bagaimana tentera Islam menang dalam peperangan Badar dan kalah dalam peperangan Uhud.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, mengikut hukum akal mustahil untuk tentera Islam seramai 313 orang berperang dengan ribuan tentera musuh dalam keadaan berpuasa pada Ramadan.

Namun katanya, mengikut hukum Allah dan dengan izin-Nya hasilnya berbeza apabila pasukan Islam menang.

Menurutnya, berbeza dengan perang Uhud pada Syawal dalam keadaan tidak berpuasa, tentera Islam tewas.

"Umat Islam kalah sebab merebut harta dan tidak ikut arahan Rasulullah SAW.

"Dan saya nak bawa pada zaman kontemporari pula, pada 9 Februari 2013 di Lahad Datu apabila sekumpulan orang Sulu ceroboh ke sabah.

"Ada orang kita khianati negara dan beri maklumat pada musuh yang akhirnya menyebabkan ada tentera kita terkorban," katanya ketika berucap dalam Majlis Jalinan Ramadan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Bersama Pasukan Beruniform 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Program julung kali yang menghimpunkan 13 agensi berkaitan itu dihadiri lebih 1,700 anggota pasukan beruniform.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 5:59 PM