BOT nelayan tempatan yang ditahan. FOTO ihsan APMM
NELAYAN yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lapan tekong dan awak-awak warga Myanmar bersama empat bot nelayan tempatan kira -kira sembilan batu nautika dari barat laut Pulau Talang, Lumut, semalam.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, kesemua bot nelayan, tekong dan awak-awak ditahan selepas dipercayai melanggar syarat lesen dimiliki.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 3 Lumut, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kesemua warga asing ditahan sepasukan anggota bot kilat ketika rondaan dan penguatkuasaan di perairan itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan melanggar syarat yang dinyatakan dalam lesen iaitu menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Semua warga asing ditahan itu membabitkan empat tekong dan empat awak-awak warga Myanmar berusia antara 20 hingga 45 tahun," katanya dalam kenyataan di Lumut, hari ini.

Wan Mat berkata, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan bot bersama semua warga asing terbabit diiringi ke Jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 10:29 AM