Ahmad Zahid melihat helaian cetakan al-Quran selepas majlis Pelancaran Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Operasi Percetakan al-Quran di Nasyrul Quran, Putrajaya. FOTO Gambar Ahmad Irham Mohd Noor
Ahmad Zahid melihat helaian cetakan al-Quran selepas majlis Pelancaran Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Operasi Percetakan al-Quran di Nasyrul Quran, Putrajaya. FOTO Gambar Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


KOMPLEKS Nasyrul Quran terletak di Presint 14, Putrajaya bernilai RM60 juta memulakan operasi secara rasmi hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaannya menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar dan pencetak al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

"Dalam usaha ini, tentunya kerajaan tidak berhasrat untuk bersaing dengan mana-mana negara malah, kita menghormati pusat percetakan terbesar di dunia terletak di Madinah selain banyak lagi pusat pengeluar di Asia Barat dan serantau.

"Pada masa sama, usaha dilakukan oleh kerajaan bukan berhasrat untuk riak dan jauh lagi bersifat takbur dalam meletakkan Malaysia berada di tahap kedua tertinggi," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017/1438H dan Perasmian Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia sebagai negara Islam yang mengamalkan konsep wasatiyyah iaitu kesederhanaan mahu terbabit dalam menyumbang kepada dunia Islam melalui cetakan al-Quran mengikut mushaf Malaysia.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, kompleks berkenaan di bawah naungan kerajaan dengan kerjasama beberapa pihak seperti Yayasan Restu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri serta Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menjalankan pemberian sumbangan terutama kepada masyarakat di negara mempunyai minoriti Islam melalui wakaf al-Quran.

"Kompleks ini akan mencetak sekurang-kurangnya satu juta naskhah al-Quran setahun dengan 70 peratus daripadanya untuk kegunaan umat Islam di Malaysia manakala, selebihnya diwakafkan ke negara dengan minoriti umat Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 2:35 PM
Digital NSTP Subscribe