R Supramaniam (empat dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun yang dirampas mercun bernilai antara RM20,000 hingga RM30,000 dan dijual sekitar tanah rancangan FELDA. Foto Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my


PENEROKA ditahan bersama ratusan kotak mercun pelbagai jenis bernilai RM30,000 di rumahnya yang dijadikan stor simpanan mercun di FELDA Gedangsa, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan jam 4 petang di rumahnya dan kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, hasil siasatan suspek dipercayai memperoleh bekalan mercun daripada seseorang di Rawang dan menjualnya di sekitar kawasan FELDA.

"Polis terima maklumat mengenai penjualan mercun dan susulan itu kita menahan peneroka berusia 44 tahun di rumahnya lalu menunjukkan stor menyimpan pelbagai jenis mercun," katanya.

Beliau berkata, polis turut mendapati mercun itu dijual secara dalam talian.

Katanya, suspek kini direman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 5:00 PM