Abdul Aziz (tengah) menunjukkan alatan yang digunakan Geng Sanco bagi melakukan aktiviti samun kereta mewah dan pecah rumah. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


GENG Sanco yang giat menyamun kereta mewah dan pecah rumah sejak dua tahun lalu tumpas apabila 10 ahli kumpulan itu diberkas polis pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, melalui tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 14 kes samun berkumpulan, curi kenderaan dan samun dalam rumah di beberapa lokasi.

"Semua suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan melalui Op Cantas Khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Ampang, Serdang, Petaling Jaya dan Brickfields.

"Modus operandi Geng Sanco yang aktif sejak pertengahan 2015 itu adalah melanggar kenderaan mewah yang disasarkan sebelum melakukan samun.

"Tangkapan dibuat susulan laporan seorang mangsa yang kerugian sebanyak RM270,000 selepas BMW miliknya dilanggar oleh dua suspek di Lebuhraya Elite berhampiran susur keluar ke Cyberjaya pada April lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Katanya, suspek turut dikesan menggunakan kereta jenis sama iaitu BMW dalam melakukan jenayah samun dan langgar di sekitar Selangor termasuk di daerah Sepang.

Abdul Aziz berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine malah pihaknya juga berjaya merampas peralatan pecah rumah dan curi kenderaan.

"Selain itu, polis turut merampas lima kenderaan mewah bernilai RM2 juta termasuk BMW 523i, Toyota Estima, Audi, Honda Civic, Volkswagen Passat dan Mercedes C200 di sekitar Selangor.

"Hasil daripada cap jari yang dilakukan mendapati semua suspek turut terbabit dalam tiga kes jenayah masing-masing di daerah Seremban, Gombak dan Brickfields," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 3:33 PM