Farah Suhaidah Othman


DUA orang maut dipercayai lemas akibat terhidu asap dalam kebakaran rumah di Jalan Utama, Taman Sinaran, Gerik, hari ini.

Dalam kejadian 3.32 pagi itu, mangsa dipercayai dua beranak iaitu wanita berusia 52 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati rumah teres dua tingkat sedang terbakar.

"Ketika kejadian, keadaan api agak terkawal dan dianggarkan hampir 40 peratus bahagian rumah berkenaan terbakar.

"Pemeriksaan dalam rumah berkenaan menemui dua mangsa di tepi katil dalam sebuah bilik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa tinggal di rumah berkenaan.

"Anggota bomba memakai alat pernafasan untuk masuk ke dalam premis dan menggunakan hos aliran air bersumberkan pili air bagi memadam kebakaran.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 5 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 7:09 AM
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah.. FOTO ihsan Bomba