MOHD Zain (tiga dari kiri) mengacau bubur lambuk di Bazar Ramadan Jalan Masjid India, semalam.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Makanan yang tidak dihabiskan atau tidak terjual di bazar Ramadan adalah penyumbang utama kepada peningkatan sisa pepejal setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan berkata, sehingga 17 Ramadan, pihaknya mencatatkan peningkatan jumlah kutipan sisa pepejal harian antara 150 tan dan 200 tan di kawasan konsesinya iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

“Jumlah keseluruhan sisa pepejal yang dikutip sehingga hari ke-17 berpuasa adalah 45,000 tan dan ini menunjukkan penurunan 1,000 tan tempoh sama tahun lalu.

“Kesedaran terhadap pembaziran di bulan mulia ini semakin meningkat namun pihak kami akan terus berusaha menggalakkan penggunaan bekas makanan guna semula kerana beg plastik dan pek polistirena adalah faktor peningkatan kutipan harian,” katanya ketika agihan 2,000 bubur lambuk di dalam bekas boleh guna semula oleh Alam Flora kepada pengunjung Bazar Ramadan Jalan Masjid India, di sini, semalam.

Menurut Mohd Zain, usaha itu dibuat sesuai dengan mesej sayangi makanan dan kurangkan pembaziran.

“Bukan hendak menghalang orang ramai membeli makanan, tetapi pastikan tiada pembaziran dan gunakan bekas sendiri untuk kurangkan penggunaan plastik.

“Ada lebih 100 lokasi bazar Ramadan dan semakin banyak sisa dibuang. Lokasi paling banyak sampah dikutip adalah Kampung Baru dan Jalan Masjid India,” katanya.

Beliau berkata, Alam Flora ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa khidmat pungutan sampah dan pembersihan akan berjalan seperti biasa ketika Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 11:05 AM