IDRIS (tengah) memegang dokumen perjanjian yang dimeterai lima hospital pengajar universiti selepas menyaksikan Majlis MOU dan Aku Janji Konsortium Hospital Universiti Awam di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Lima Hospital Pengajar Universiti menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) melalui penubuhan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang perubatan sekali gus meningkatkan kerjasama dalam pendidikan perubatan di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, inisiatif penubuhan KHUAM adalah langkah awal yang dapat memberikan impak dan manfaat kepada perkembangan sektor penjagaan kesihatan yang disediakan Hospital Pengajar Universiti.

“Hospital Pengajar Universiti bukan saja dilihat sebagai penyampai perkhidmatan penjagaan kesihatan, pusat melahirkan pakar dan pencetus kepada usaha inovasi dalam bidang sains kesihatan dan perubatan.

“Sebagai langkah permulaan, lima hospital pengajar universiti memeterai MoA bagi menjalin kerjasama dalam melaksanakan prinsip kesepunyaan dan keserakanan. Bagaimanapun, enam universiti lain yang menawarkan program perubatan yang belum mempunyai hospital pengajar turut menandatangani Aku Janji sebagai tanda sokongan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis MoA dan Aku janji KHUAM di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Lima Hospital Pengajar Universiti yang terbabit adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) dan Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA (HPUiTM).

Manakala, enam universiti yang memeterai Aku Janji ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Idris berkata, penubuhan konsortium akan menjadi platform di peringkat nasional bagi menyelaras secara bersepadu dan bersifat lebih agresif terutama dalam usaha menambahbaik perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bertaraf global dan penjenamaan semula Hospital Pengajar Universiti.

“Malah, ia dapat memberi manfaat dalam penerokaan bidang baru seperti pelancongan kesihatan, perkongsian sumber, penyelarasan data pesakit dan peningkatan kepakaran.

“Selain itu, ia mampu memberi 15 peratus penjimatan kepada pembelian ubatan dan peralatan perubatan serta peningkatan kapasiti penyertaan pakar perubatan sebanyak lima hingga 10 peratus melalui program mobiliti,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga mampu menjana pendapatan sehingga lima peratus melalui aktiviti perlindungan insurans kesihatan atau pelancongan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 7:03 AM