Siti Rahamah rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Padang Putih, Mukim Kedawang, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


WANITA ditemui rentung dalam kebakaran rumah kayu di Kampung Padang Putih, Mukim Kedawang, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 5.35 petang itu, mangsa Siti Rahamah Ab Rahim, 63, ditemui rentung dalam rumah kayu setingkat oleh anggota bomba.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.42 petang sebelum menghantar dua pegawai dan enam anggota bersama dua jentera ke lokasi.

"Sejurus tiba di tempat kejadian anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah setingkat kelas C sebelum berusaha memadam api menggunakan masing-masing satu aliran dan dua pancutan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan jenazah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa warga emas yang ditemui rentung itu dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

"Keluasan kebakaran dianggarkan 20 meter panjang dan 10 meter lebar, manakala anggaran kemusnahan pula sebanyak 95 peratus.

"Api dikawal pada 6.04 petang dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Idris, 50, berkata ketika kejadian mangsa yang juga penghidap Skizofrenia tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

"Kebetulan ketika kejadian saya baru sahaja keluar ke bazar Ramadan berhampiran untuk membeli juadah berbuka kepada arwah.

"Selama ini begitulah rutin harian saya menjaga kebajikan arwah termasuk makan dan minum dengan menyediakan makanan yang siap di masak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 9:12 PM