Shahidan bersama-sama peserta Larian Obor Kuala Lumpur 2017 Peringkat Negeri Perlis. FOTO HAFIZUDIN MOHD SAFAR
Hafizudin Mohd Safar


HUJAN tidak menghalang peserta Larian Obor Kuala Lumpur 2017 Peringkat Negeri Perlis menamatkan larian hari ini bermula dari kawasan Padang Besar dan berakhir di Arau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hujan itu dianggap sebagai rahmat kerana menyejukkan suasana dan membolehkan peserta larian obor meneruskan perjalanan hingga ke bandar Arau dengan selesa walaupun dalam keadaan berpuasa.

"Cuaca di Perlis yang secara umumnya panas terik ketika ini menyebabkan sebahagian peserta larian obor hari ini mengalami cabaran untuk membawa obor terbabit pada sebelah pagi merentasi kawasan Padang Besar dan Kangar.

"Namun sebaik hampir jam 5.00 petang hujan lebat sebaik peserta tiba di kawasan Jejawi dari Bandar Kangar.

"Untuk peringkat akhir tadi dari Kubang Gajah ke Arau suasana menjadi tenang dan nyaman menyebabkan peserta larian obor sebahagiannya juga adalah atlet orang kurang upaya (OKU) negeri ini berjaya meneruskan program dengan lebih selesa," katanya ketika ditemui di hadapan Masjid Negeri, hari ini.

Shahidan yang turut sama menyertai larian sejauh lima kilometer di peringkat akhir itu juga bersama-sama peserta lain membawa Obor Kuala Lumpur 2017 mengelilingi Bandar Arau termasuk kawasan Pasaraya Cmart untuk memberi peluang penduduk tempatan di sini bersama-sama merasai semangat negara yang bakal menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA tahun ini.

Shahidan kemudiannya bersama-sama sebahagian daripada 1,000 peserta yang turut sama menjayakan larian tberbuka puasa di Masjid Negeri di Arau.

Turut menyertai larian pada peringkat Parlimen Arau bekas jaguh pecut Asia Tenggara iaitu Nazmizan Muhammad yang pernah merangkul pingat emas acara 100 meter, 200 meter pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Larian Obor Kuala Lumpur 2017 akan diteruskan di peringkat Negeri Kedah yang dijangka bermula di kawasan Jerlun, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 9:33 PM