ANGGOTA bomba menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di kemalangan di Jalan Gopeng, Kampar. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di kemalangan di Jalan Gopeng, Kampar. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman


WANITA berusia 32 tahun maut selepas kereta yang dipandu merempuh kenderaan pacuan empat roda di Jalan Gopeng berhampiran simpang Gua Tempurung, Gopeng, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 11.45 malam itu, Soo Pooi Min yang memandu kereta jenis Perodua Axia maut di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi pemandu kenderaan pacuan roda jenis Toyota Hilux cedera ringan.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kampar sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan roda itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng Penguasa Bomba Kanan II Nor Zamri A Wahab berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.53 malam.

Katanya, setiba di lokasi anggota bomba mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dalam keretanya.

"Anggota bomba bertindak menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Katanya, operasi tamat jam 12.37 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 10:52 AM