Skip this ad x
GAMBAR adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Muhammad Apendy Issahak


KANAK-KANAK lelaki 11 tahun terpaksa menahan sakit kira-kira sejam selepas kaki kirinya tersangkut dalam lubang tandas di rumahnya di Kampung Pengkalan Gate, Ipoh, hari ini.

Kaki kanak-kanak berkenaan tersangkut dalam lubang tandas cangkung, pada 10.30 pagi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh berkata, setibanya pasukan bomba ke lokasi kejadian, anggota didapati kaki kiri kanak-kanak terbabit masih tidak dapat dikeluarkan.

"Bomba terpaksa memecahkan mangkuk tandas berkenaan dengan menggunakan perlatan khas untuk mengeluarkan kakinya.

"Dia mengalami luka kecil pada kaki dan kemudian diberikan rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Batu Gajah dengan menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

"Operasi diketuai Pegawai Bomba Abd Rahman Mohd Som itu tamat sepenuhnya pada jam 11.12 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 1:34 PM