GAMBAR adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Hazyah Abdul Rahman


LAPAN rumah dan kereta terbakar dalam kejadian di Flat Sri Taman, Batu 3, dekat Sandakan, hari ini, mengakibatkan kira-kira 20 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Api dikatakan merebak dengan pantas berikutan keadaan angin kuat ketika kejadian namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dalam kebakaran 2.30 petang.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew, berkata 14 anggota bomba ditugaskan memadamkan api sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.35 petang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati api sudah marak dari satu daripada lapan rumah itu.

“Api dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira 4 petang. Pemeriksaan awal, kebakaran membabitkan lapan rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anddre berkata, dua rumah musnah sepenuhnya manakala tiga rumah terbakar hampir 70 peratus dengan tiga lagi hanya terbakar 30 peratus.

“Turut dilaporkan terbakar Perodua Kancil yang diletakkan di belakang satu daripada lapan rumah itu.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jira dilaporkan manakala kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 8:42 PM