Mohd Nasif Badruddin


Asalnya sekadar mahu membina anjung untuk mengajar anak jiran mengaji al-Quran selepas Asar, namun sumbangan diterima melebihi jangkaan menyebabkan Mudir Pondok Pengajian Ilmu Wahyu Ustaz Noramin Said, 37, terfikir mengubah perancangan kepada membina pondok pengajian lebih besar dan tersusun.

Lebih menarik, pondok moden yang terletak di Merlimau, Melaka itu hanya belajar kitab turath dan al-Quran selepas pelajar tamat kelas akademik di sekolah menengah berhampiran.

Ustaz Noramin berkata, idea penubuhan pondok itu timbul selepas beliau tamat pengajian di universiti dan berkahwin mengenai apakah bentuk sumbangan yang boleh diberi kepada masyarakat.

“Apabila saya menyuarakan idea mahu membina anjung untuk mengajar al-Quran kepada beberapa rakan, tanpa disangka ramai yang ingin menyumbang termasuk syarikat korporat dan jumlah diterima melebihi sasaran.

“Jadi, dengan sebidang tanah kosong sebelah rumah mentua, saya memulakan projek membina pondok ini dengan pengambilan pertama lapan pelajar pada 2013 sebelum berkembang kepada 20 pelajar berusia 13 dan 14 tahun termasuk yang tinggal di asrama dan berulang-alik,” katanya.

Menurutnya, dengan keupayaan terhad tiga guru tetap dan lima staf sokongan, agak sukar untuk mereka melahirkan ulama profesional yang mahir dalam bidang agama dan akademik.

“Tetapi, sekurang-kurangnya kita mahu menolong melahirkan masyarakat yang tahu halal haram, fardu ain dan bagaimana hidup cara Islam sebelum mereka menyambung pengajian ke tempat lain,” katanya.

Katanya, pengajian di pondok itu bermula dengan kelas al-Quran selepas Asar dan diteruskan dengan riadah serta aktiviti sukan sunah seperti memanah, berkuda dan berenang.

Beliau berkata, pengajian kitab turath pula bermula selepas Maghrib dan selepas Isyak pelajar akan mengulang kaji pelajaran sebelum tidur di asrama atau pulang ke rumah bagi mereka yang berulang-alik.

“Pengajian kitab turath dan kelas al-Quran mengikut tahap pencapaian pelajar ini menggunakan kitab muktabar serta diajar guru berpengalaman yang mempunyai tauliah daripada Jabatan Mufti Melaka dan pondok ini bernaung di bawah Persatuan Huffaz Melaka,” katanya.

Mengenai nama bahasa Melayu yang digunakan pada pondok dan bukannya bahasa Arab, Ustaz Noramin berkata, beliau mahu menghidupkan semula sistem pengajian secara tradisional dan mengembalikan nostalgia nama pondok yang begitu dekat dengan masyarakat suatu ketika dulu.

Katanya, nama Pengajian Ilmu Wahyu pula dipilih bagi mengabadikan nama kursus Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Fiqh dan Usul) ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini.

Menurutnya, kemunculan pondok itu menerima sambutan menggalakkan masyarakat dan mereka banyak membantu dalam pelbagai bentuk sama ada dari segi pengimarahan surau mahupun sumbangan dana serta tenaga kerja.

“Kita merancang untuk memperbesarkan lagi operasi pondok ini dengan menyediakan kelas pengajian akademik, kitab turath dan tahfiz sepenuh masa dalam masa tiga tahun lagi.

“Menuntut ilmu itu fardu dan tiada penamat usia atau waktu. Jadi pengisian rohani ini perlu diperbanyakkan sama seperti penawaran pelbagai pilihan kedai makan dan restoran bagi pengisian fizikal dan tubuh badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 6:55 AM
SISTEM pengajian terbuka bersama penduduk kampung.