KILANG alat ganti kereta yang musnah dijilat api di Segambut.
KILANG alat ganti kereta yang musnah dijilat api di Segambut.

Kuala Lumpur: Sebuah kilang alat ganti kereta musnah dalam kebakaran di Jalan Segambut Tepi, Taman Segambut, awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.07 pagi sebelum 59 anggota bersama 12 jentera termasuk dua jentera Turntable Ladder (TTL) dan dua tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Taman Tun Dr Ismail, BBP Jinjang dan BBP Wangsa Maju dikerahkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul tiba ke lokasi dalam tempoh lima minit.

“Bagaimanapun, anggota berdepan kesukaran memasuki kilang berikutan api marak dan tekanan air rendah.

“Namun, pasukan operasi pemadaman dapat mengawal api selepas sejam sebelum dipadamkan sepenuhnya jam 6 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Khirudin berkata, siasatan mendapati kebakaran turut memusnahkan dua lori dan jentera pengangkat di kilang terbabit.

Katanya, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kebakaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 8:03 AM