Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SUSPEK lelaki Orang Asli yang menetak neneknya hingga mati, mencederakan isteri dan bapa mentuanya direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob, berkata suspek berusia 32 tahun itu negatif ujian saringan air kencing.

“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sebelum ini pernah beberapa kali mengalami sawan dan berkelakuan pelik sebelum tidak sedarkan diri.

"Namun kali ini dia bertindak agresif dengan menetak mati neneknya hanya kerana ingin dibawa berjumpa Tok Batin untuk berubat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi, di Kampung Pagar, Kuala Lipis, Lipis kelmarin, suspek turut mencucuh muka isterinya dengan puntung bara api selain menetak bapa mentuanya di belakang badan dan leher sebelum ditangkap.

Azry Akmar berkata, dua mangsa terbabit kini dirawat di Hospital Kuala Lipis dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, ujian pemeriksaan kesihatan mental hanya boleh dilakukan ke atas suspek sekiranya pihak polis mendapat perintah mahkamah selepas pendakwaan dilakukan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

Minta makanan sebelum tetak nenek

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 11:22 AM