Roslee (tengah) diiringi Aidi (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada pemandu kereta pada majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2017 di Plaza Tol Ajil, Hulu Terengganu. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Zatul Iffah Zolkiply


HANYA 10 peratus daripada 3,474 pegawai dan anggota polis Terengganu dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri pada tahun ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 530 orang termasuk 188 pegawai dan anggota trafik ditugaskan untuk memastikan keamanan dan ketenteraman rakyat di negeri ini.

"Selain tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya, penugasan pegawai dan anggota diharapkan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya yang membabitkan kematian dan jenayah lain terutama pecah rumah dan curi.

"Kita turut menjangka kesesakan di tujuh laluan di negeri ini masing-masing empat jalan di Kuala Terenganu iaitu Jalan Sultan Mohamad; Jalan Tengku Mizan, Bulatan Batu 6 menghala ke Banggol Air Lilih dan Plaza Tol Kuala Terengganu manakala dua di Setiu (Persimpangan Chalok dan Persimpangan Guntung Luar) dan Pekan Jertih di Besut.

"Kita turut mengenal pasti dua kawasan panas iaitu Kilometer (KM) 10.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Chendering) di Kuala Terengganu dan KM72 hingga 73 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kampung Pulau Serai) di Dungun yang menjadi antara lokasi kerap berlaku kemalangan.

"Kita harap orang ramai dapat mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya pada sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 11/2017 di Plaza Tol Ajil, Hulu Terengganu hari ini.

Majlis perasmian kempen disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu Roslee Daud.

Terdahulu, Roslee menasihatkan pengguna supaya berhati-hati di jalan raya dan sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Kemalangan boleh dielak sekiranya pengguna mematuhi undang-undang ditetapkan dan penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi ia untuk kebaikan bersama," katanya.

#kw cuti raya polis terengganu

#loc 5.0847379999999998, 103.088047

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 12:26 AM