OTHMAN menyerahkan pek sumbangan kepada penunggang motosikal di Tol Simpang Balak, semalam.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kajang: Polis memberi keutamaan penguatkuasaan dan pemantauan di dua jalan ‘panas’ dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di daerah ini sepanjang Op Selamat 11.

Laluan yang anggap jalan maut itu adalah di Kilometer (km) 11 hingga km22 Lebuhraya Grand Saga (Cheras- Kajang) dan Jalan Persekutuan bermula dari Kilometer 14, Cheras hingga Kilometer 40, Semenyih.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, dua laluan itu dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal terutama kemalangan pada waktu malam hingga awal pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan penunggang motosikal semakin kerap dilaporkan berikutan peningkatan pengguna yang mendadak, selain beberapa faktor lain seperti keadaan jalan raya dan cuaca.

“Kebanyakan penunggang motosikal terbabit kemalangan kerana melanggar belakang kenderaan lain dan hilang kawalan kerana laju sebelum terbabas,” katanya ketika pelancaran Op Selamat 11.

Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di Tol Simpang Balak, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Othman turut menyerahkan topi keledar bercirikan keselamatan dan beg mengandungi risalah keselamatan kepada orang ramai.

Kempen keselamatan ini turut mendapat kerjasama Lebuhraya Kajang Silk, Lebuhraya Kajang Seremban, Lebuhraya Grand Saga, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang dan Majlis Perbandaran Kajang.

Othman berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 13,899 kemalangan jalan raya direkodkan menurun berbanding 14,020 kes pada 2015.

Katanya, daripada jumlah itu 117 kes membabitkan kemalangan maut pada tahun lalu dan 115 pada 2015.

“Pada Op Selamat 10 sempena Aidilfitri tahun lalu, sebanyak 458 kes kemalangan dilaporkan dengan enam kematian.

“Pencapaian membanggakan adalah pada tahun lalu, sepanjang Op Selamat dijalankan, tiada kes pecah rumah dilaporkan berlaku di daerah Kajang. Saya berharap momentum ini diteruskan dan orang ramai diminta bekerjasama dengan mengisi borang maklumat balik kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 7:03 AM